Permulaan Universiti

Assalamualaikum dan hai semua!

Segalanya bermula pada 31 Julai 2019. Saat yang dinantikan semua pelajar lepasan matrikulasi, asasi, STPM dan juga para pelajar lepasan diploma telah tiba. Begitu juga dengan diri ini yang sungguh berdebar menantikan saat itu. Saat jam tepat menunjukkan pukul 12 tengahari, ketika itu aku sedang berada di tempat kerja iaitu di sebuah kedai buku. Aku mula duduk bersandar di sofa yang disediakan, lalu aku mencapai telefon pintarku dan terus menaip keputusan upu di laman sesawang. Apa yang ada di fikiranku ketika itu hanyalah aku mahu terpilih menjadi salah seorang pra-siswazah yang ditawarkan di mana-mana universiti di Malaysia kerana aku tidak mahu mengecewakan harapan orang di sekelilingku.

Aku sangat beruntung kerana aku telah terpilih di salah satu universiti yang terkemuka di Malaysia malah di persada dunia. Kegembiraanku tidak dapat digambarkan. Hanya air mata dan senyuman yang menceritakan segalanya. Walaupun ia bukanlah pilihan utama yang aku mahukan, namun aku tahu segalanya sudah diaturkan dan ditentukan oleh Tuhan. 

Berita gembira ini aku sampaikan kepada ahli keluargaku, saudara-maraku serta sahabat-sahabat yang sentiasa ada denganku. Mereka turut gembira dan ada di antara mereka yang menjadikan diriku sebagai pendorong untuk mereka untuk terus bergerak ke hadapan dalam mencapai kejayaan. 

Pada tarikh 2 September 2019, aku mula mendaftarkan diri. Di sini aku bertemu ramai kenalan baru. Minggu pertama aku dimulakan dengan minggu orientasi yang dinamakan Minggu Mesra Mahasiswa (MMM). Pemudah cara yang terlibat dalam program ini sangat membantu diriku dalam membiasakan diri dengan kehidupan di universiti yang agak asing bagiku. Dari situ juga aku mula berkenalan dengan lebih rapat bersama rakan-rakanku yang juga merupakan pelajar baharu di situ.

Ya, kini seperti mimpi, aku sudah mulakan pembelajaran pertamaku di universiti ini dengan subjek aplikasi komputer dengan Dr Zaleha. Pada detik ini, aku tahu perjuanganku baru sahaja bermula dan aku sudah tekadkan azam untuk memperoleh kejayaan agar aku dapat memperoleh segulung ijazah yang sangat bermakna buat diriku di Universiti Kebangsaan Malaysia. :):):)

Universiti Kebangsaan Malaysia


Comments

Popular posts from this blog

Menghargai atau dihargai?

Girls Day Out

Sem break