Tips Belajar Universal
Assalamualaikum semua!
Perkongsian daripada salah seorang alumni UKM iaitu Kak Fitri Munawaroh bt Zailani Nasty yang merupakan guru/MPPUKM pada salah satu program yang telah aku sertai di bawah kelolaan UKM Karier sangat bermanfaat bagi diri aku.
Kak Fitri Munawaroh telah berkongsi tips belajar universal kepada kami semua. Antaranya termasuklah yang paling utama sekali adalah menjaga adab. Kata beliau, menjaga adab bukan sahaja dengan ibu bapa malah guru-guru, rakan-rakan sekelas, jiran tetangga malah orang yang tidak dikenali juga. Adab sangatlah penting kerana dengan adab, kita akan mudah memperoleh ilmu pengetahuan.
Selain itu, pesan beliau adalah walau sibuk macam mana pun, kita tidak boleh menahan perut kita daripada lapar. Penjagaan waktu makan sangatlah penting supaya fokus terhadap pembelajaran dapat ditingkatkan. Apabila kita hendak belajar sesuatu perkara, kita tidak boleh kejar membaca tetapi kita perlu faham apa yang kita baca dan fokus dengan apa yang difahami. Jika kita baca dengan laju, itu bukan salah satu cara yang dapat membuatkan kita faham akan sesuatu perkara.
Perkara yang paling penting sekali ialah perlu mendapat keberkatan daripada ibu bapa, Allah, guru, rakan dan mereka yang sepatutnya. Sebelum kita melakukan sesuatu perkara tidak kisahlah hendak menjawab kuiz, menjawab peperiksaan atau apa-apa sahaja, kita perlu menghubungi ibu bapa kita dan minta mereka mendoakan agar urusan kita dipermudahkan. Dengan doa mereka, kita pasti akan merasa lebih tenang.
Latih tubi diri kita untuk berfikir juga merupakan antara tips belajar universal yang berkesan. Contohnya, mempercepatkan jam kita dengan 5 minit lebih cepat. Ia secara tidak langsung akan membantu otak kita untuk berfikir pukul berapa sebenarnya ketika itu.
Kita perlu berjiwa besar umpama lautan. Cabar diri kita dengan segala cabaran yang ada di depan mata. Jika kita rasa kita tidak tahu melakukan sesuatu perkara, cabar diri kita untuk belajar perkara itu sehingga kita mahir dengannya.
Pesanan yang paling bermakna ialah perlu sentiasa erat dan kukuhkan lagi tali ikatan kita dengan pencipta. Ini kerana, hati yang hidup dengan cinta kepada Tuhan pasti akan memperoleh ilmu yang berkat.
Comments
Post a Comment